Thursday, August 04, 2011

Q&A : Qada' Puasa

Puasa Qada' dan Bayar Fidyah



Assalamualaikum,
Saya ingin mengqada'kan puasa saya yang lepas iaitu sebanyak 50 hari untuk 5 tahun yang berturut-turut. Saya ingin tahu bagaimana untuk saya membayar fidyah bagi tahun yang berasingan. Katakan saya ingin memulakan puasa Qada' iaitu dengan membayar fidyah dan mengqada' puasa untuk tahun lepas sahaja iaitu tahun 2005, adakah ia akan dikira fidyah untuk tahun 2004 atau sebelumnya?

Bagaimana cara membayar fidyah? jika saya ingin membayar fidyah kepada fakir miskin, perlukah saya menyebutnya pada si fakir miskin bahawa saya memberinya wang kerana ingin membayar fidyah ataupun saya hanya memberikannya dengan niat untuk membayar fidyah?
Terima kasih.



Jawapan.
Orang-orang yang meninggalkan puasa dengan sebab apa pun diberi kelapangan masa untuk mengqada’ puasanya itu, asalkan tidak lewat sehingga masuk bulan Ramadhan yang berikutnya. Seandainya masih belum mengqada’nya lagi dan masuk bulan bulan Ramadhan yang berikut. Ia dikenakan fidyah iaitu sehari secupak beras serta qada’nya sekali. Seperti contoh :

Seorang itu telah meninggalkan puasa 5 hari pada tahun pertama dan tidak mengqada’ sehingga masuk bulan Ramadhan tahun kedua maka ini dikenakan :

1. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun pertama iaitu masuk tahun kedua -> Beras 5 cupak (1 cupak sehari)
2. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun kedua iaitu masuk tahun ketiga -> Beras 10 cupak (2 cupak sehari)
3. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun ketiga iaitu masuk tahun keempat -> Beras 15 cupak (3 cupak sehari)

Begitulah seterusnya jika masih juga belum mengqada’ puasanya. Maka jumlahkanlah berapa tahun yang belum dijelaskan puasa yang ditinggalkan itu dan berapa pula yang patut dikenakan fidyahnya.

Ketika memberi kepada fakir miskin dengan kadar yang telah ditetapkan bagi tujuan membayar fidyah memadai dengan niat sahaja. Tetapi jika membayar fidyah melalui jawatankuasa masjid atau mereka yang menjalankan tugas berkaitan dengan hal ehwal Islam adalah lebih baik dinyatakan tujuan saudari itu.

Sebagai seorang Islam yang mengakui menjunjung perintah Allah janganlah lalai untuk mengqada’ puasa yang ditinggalkan itu. Lagi cepat kita qada’ lagi besar faedahnya yang kita dapati dan ringan penanggungan kita terhadap Allah S.W.T.

Sekian, wallahualam.




Satu cupak bersamaan 675 gram



Assalamualaikum,
Saya faham jika meninggalkan puasa pada Ramadan kita dikenakan membayar fidyah. Persoalannya apakah sukatan satu cupak itu dalam kiraan kilogram? Ini bagi memudahkan saya untuk membuat pembayaran.


Jawapan.
Islam adalah agama yang mudah untuk diamalkan penganutnya. Syariat fidyah ialah sebagai denda kerana lewat menunaikan tanggung jawab wajib iaitu berpuasa Ramadan. Ia lebih berunsur sosial di mana sedekah makanan kepada orang miskin akan meringankan beban orang yang tidak mampu.

Jika sukar membayar dalam cupak, ia boleh ditukar kepada gram iaitu satu cupak bersamaan 675 gram dan satu gantang bersamaan 2.7 kilogram.

Ia juga boleh dibayar dalam harga secupak iaitu harga secupak sebanyak RM1.18. Yang wajib dibayar ialah jumlah fidyah yang secukupnya. Jika berhajat membayar lebih, itu adalah sedekah yang digalakkan dalam agama.







me, myself

No comments: